Wednesday 31 August 2011

MERDEKA !!!!


Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke 54.....Bersyukur Kita menjadi warga Malaysia.



Ini pula antara lagu yang popular.....

Penyanyi : Sudirman (Ahmad CB)

31 Ogos

Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Merdeka ! Merdeka !
Tetaplah merdeka
Ia pasti menjadi sejarah

Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Hari yang mulia
Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka

Mari kita seluruh warga negara
Ramai-ramai menyambut hari merdeka
Merdeka !
Tiga satu bulan lapan lima puluh tujuh
Hari mulia negaraku merdeka



MD
31 Ogos 2011



AidilFitri 1432H Yang Diingati





Selamat Hari Raya AidilFitri,Maaf & Batin Buat Semua....

Sesungguhnya AidilFitri kali ini 1 Syawal 1432H bersamaan 30 Ogos 2011 merupakan satu perayaan yang sangat diingati.Ini kerana beberapa perkara telah berlaku yang mana tarikhnya juga sangat hampir dan berada pada bulan yang sama..
1. 31 Ogos 2004 - Ayah meninggal dunia  [ Al Fatihah.... ] ditengah kesibukan warga Kuantan menyambut Kemerdekaan,ketika itu bandar Kuantan menjadi tuan rumah bagi acara sambutan.
2. 1 Ogos 2011 - Bapa mertua dikebumikan  [ 1 Ramadhan 1432H ],setelah meninggal dunia pada malam datangnya Ramadhan [ Al Fatihah... ]
3. Manakala 31 Ogos setiap tahun,Kita sebagai rakyat Malaysia pula akan menyambut Hari Kemerdekaan Negara Malaysia

AidilFitri 1432H memang sangat diingati.....




MD
1 Syawal 1432H




Thursday 25 August 2011

Cara Mudah Nak Ingat 7 Warna Pelangi.


Pelangi ada 7 warna yang sangat cantik.Bukan hari hari kita dapat melihat pelangi secara semulajadi.Namun untuk mengingati semua tujuh warna tersebut dengan urutan yang betul secara sepontan tentunya agak sukar.

Gambar 7 warna pelangi - sumber Goolge Image.

Apa yang Saya masih ingat sejak dari alam persekolahan hingga kini,guru Sains [ Terima Kasih Cikgu ] pernah memudahkan cara ingatan warna tersebut dengan kaedah menjadikan huruf awal setiap warna kepada satu ayat yang mudah disebut.

Contohnya adalah seperti berikut ,Warna Pelangi mengikut urutan ialah :
1. Merah = M
2. Jingga = J
3. Kuning = K
4. Hijau = H
5. Biru = B
6. Indigo = I
7. Ungu = U
Huruf awal bagi semua warna ialah : M,J.K.H.B,I,U.Seterusnya  menjadikan sambungan huruf awal itu kepada satu ayat mudah
1. M = Mat
2. J = Jenin
3. K = Ke
4. H = Hutan
5. B = Bawa
6. I = Ikan
7. U = Ulam
Dengan ayat = Mat Jenin Ke Hutan Bawa Ikan Ulam memudahkan kita untuk mengingati urutan 7 warna pelangi.
Mudah,tentunya ramai yang sudah tahu tetapi mungkin juga ramai yang belum tahu…..!!




*Sumber info dari Wikipidea
Maklumat berkaitan dengan Pelangi.

Pelangi merupakan fenomena optik dan meteorologi yang menghasilkan spektrum cahaya (hampir) selanjar di langit apabila matahari bersinar semasa hujan turun. Ia merupakan satu lengkung yang berwarna-warni dengan warna merah di lengkung paling luar dan ungu di lengkung paling dalam. Mengikut urutan, warnanya ialah merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo dan ungu.
Pelangi dihasilkan apabila cahaya terbias melalui titik air di udara. Sebab itulah pelangi selalu dapat dilihat selepas hujan. Ia berbentuk melengkung (bulat) kerana titisan air di udara berbentuk bulat/sfera. Namun biasanya bahagian bawah pelangi itu "terlindung" oleh bumi. Fenomena pelangi ini juga boleh dilihat dengan membelakangi matahari dan menyembur air pada hari yang cerah.




MD
25 Ramadhan 1432H





Tuesday 23 August 2011

Handphone Pertama.

Saya mula menggunakan ‘handphone’ sejak tahun 1996.Ketika ini memiliki handphone sesuatu yang sangat diinginkan oleh sesiapa sahaja.Semangat untuk memilikinya juga diselaras dengan bekerja bersungguh – sungguh,segala kerja lebih masa yang ada pada masa itu pastinya diambil.

Maka setelah segala usaha dilakukan,satu hari Saya mengunjungi sebuah kedai menjual alat telekomunikasi di Pusat Membeli Belah Pearl Point, Jalan Klang Lama Kuala Lumpur.Setelah membuat pilihan maka sebuah ‘handphone’ dengan jenama NEC, model Primero BX dibeli.Harga satu set lengkap ‘handphone’ beserta pendaftaran nombor iaitu RM600.00.Nombornya pula 010 – 2202911 [ tidak pasti nombor ini masih digunakan oleh pelanggan lain pula ketika ini ].Ianya mempunyai susunan yang agak mudah diingat.

Inilah bentuk NEC Primero BX yang popular suatu masa dahulu - Gambar rujukan dari eBay.


Fungsinya pula agak asas,hanya ada beberapa menu sahaja.Begitu juga dengan ‘ringtone’.Apa pun ketika itu model tersebut amat popular dikalangan orang ramai yang baru memiliki ‘handphone’.

Menariknya dahulu pantang ada ‘missed call’,cepat saja bertindak untuk membuat panggilan pada nombor si pemanggil.Orang yang mengguna ‘handphone’ pastinya menjadi perhatian,berbual kuat-kuat juga menjadi trend.

Selepas beberapa bulan menggunakan satu kejadian ‘curi talian’ telah berlaku.Satu hari perkhidmatan tidak dapat digunakan dan selepas dirujuk kepada Celcom,maka berlakunya panggilan ke nombor antara bangsa dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab.Panggilan ke Macau,Singapura dan Hong Kong terdapat dalam senarai bil dengan jumlah keseluruhan mencecah seribu lebih.Laporan dibuat dan keputusannya Saya perlu bayar pada panggilan yang dibuat sahaja.

Teknologi komunikasi sangat pantas berkembang,bayangkan dengan harga RM600.00 pada hari ini mungkin sebuah ‘handphone’ yang lebih pintar dengan pelbagai fungsi dapat dibeli.

Itulah sedikit catatan berkaitan dengan ‘Handphone Pertama’......




MD
23 Ramadhan 1432H




Sunday 21 August 2011

Bunga Kantan - Cantik Dimata,Enak Dimakan.


Bunga Kantan yang cantik dimata dan enak dimakan juga kerap menjadi sumber bagi jurufoto sebagai objek dalam seni fotografi.Saya bukanlah jurufoto sebenar dan cuma baru saja berjinak jinak dalam bidang ini.Minat terhadap bidang fotografi memang sudah lama tersemat dihati.
Berbekalkan Kamera Nikon Coolpix [ kepunyaan adik ] Saya merakamkan gambar Bunga Kantan hanya di belakang rumah ketika balik ke kampong [pada tahun lepas ].

Berikut adalah 3 gambar Bunga Kantan yang telah dirakamkan dan menjadi pilihan :

Bunga 1.

 Bunga 2.

 Bunga 3 pandangan dari atas.


*sumber info dari Wikipidea

Maklumat berkaitan Bunga Kantan.

Pokok Bunga Kantan atau juga dikenali sebagai bunga siantan merupakan sejenis pokok saka herba.
Bunga pokok ini yang berwarna merah muda banyak digunakan sebagai gubahan hiasan manakala tunas bunga ini dijadikan bahan memasak dalam masakan Melayu seperti laksa dan nasi kerabu. Dibungkus seperti sayuran dan tak sesuai diletakkan dalam plastik.
tumbuhan ini mengandungi banyak bahan antioksida yang amat baik untuk kesihatan.

Pengelasan saintifik
Alam                : Tumbuhan
Divisi                : Magnoliophyta
Kelas               : Liliopsida
Order               : Zingiberales
Keluarga          : Zingiberaceae
Genus               : Etlingera
Spesies            : E. eliator

Nama binomial
Etlingera eliator




MD
21 Ramadhan 1432H



Saturday 20 August 2011

Kash nok kash sebet - [ Cerita Loghat Pahang ]


Pagi lagi hati Mamat sudah girang.Apa tidaknya ,getoh buku yang dijualnya semalam agak lumayan melebihi jualan sebelumnya.
Hajatnya nok ke bando untuk membeli serba sikit barang barang dapur …..Sebaik sampai di bando, Mamat mengambil keputusan untuk pegi minum dulu,sekurang kurangnya memberi dia tenaga pada pagi itu.”ande kereta,minyok takde taknyer jadi weh,kereta-api berasap dulu baru bejalan….”bisik hati Mamat,”semoleknya kawan pegi minum dulu….”.

Lalu Mamat terus menuju ke kedai kopi yang diusahakan oleh Ah Kau.Kedai kopi Ah Kau ini hanya dibuka pada pagi hingga ke tengahari saja dan hanya menjual makanan sarapan,roti bakar manakala kuih muih dan nasi lemak bungkus pula dihantar oleh orang Melayu.
Kebiasaannya juga kedai itu juga dikunjungi oleh orang kampong apatah lagi sipembuat airnya juga digajikan Atan..Bersebelahan kedai Ah Kau memang kedai tauke Ah Seng yang mengusahakan makanan cina.

Mamat duduk di kerusi kosong bermeja bulat dan lalu disapa sendiri oleh Ah Kau,” Mamat…..wa tengok ini hali manyak smart….!,puji tauke kedai itu.
”Mamat senyum sambil membetulkan kerusinya…’’tengok orang la…” getus hatinya.
“Lu mau minum apa,kasi tau sama saya…”ujar Ah Kau.
“Ahhhh, kash nok kash sebet la,aok macam tak biase pulok…!!”sampuk Mamat dengan suara yang agak tinggi.Mamat dah kerap minum disitu tentu Atan sipembuat air tahu akan minuman kegemarannya.Baik pulok tauke kedai nih,biasenyer dia duduk kat tempat membayor tu je…..
“ Waaa…ini macam ka, sikijap aaaa…sikijap” balas Ak Kau dan sejurus itu dia kebelakang dapur lalu menghilangkan diri.

Selang beberapa minit Ah Kau datang semula ke meja Mamat dengan membawa sebotol Carlsberg dan segelas ais diatas dulang.” Haa…. Sikalang Wa bawak Lu punya order….”
Mamat terus terpinga pinga melihat sebotol Carlsberg yang dibawa oleh Ah Kau…
“Maruuu macam nih…tok pernoh Kawan meneguk air sebegini rupa,tok pernoh hayat…maruuuu”bisik Mamat dalam hatinya.
“Kawan takmau,takmau…ini minuman harammm kawan takmau….”Ancor…Ancor kala macam nih…”balas Mamat sambil menepuk dahi.
“ Wahhhh Lu Mamat kasi susah sama gua saja….Carlsberg takmau minum lagi mau order Anchor kaaa…!!!” rungut Ah Kau sambil terus membebel ke belakang dapur.
Susah payah dia ke kedai Ah Seng disebelah semata mata untuk memenuhi permintaan Mamat…..

Manakala Atan hanya tersengih didapur melihat Mamat yang masih mengeling ngeling kepala sambil mulutnya terkumat kamit……

Sekian.

Rujukan :
kash nok kash sebet – Kawan nok kawan sebut/Saya nak saya sebut
Ancor - Hancur

[ Cerita ini dikarang semula oleh MD untuk www.pahangcommunity.com mengikut kesesuaian semasa.Segala aspek penceritaan tidak berniat untuk menyentuh mana mana keadaan atau sensitivity masyarakat.Cerita ini juga seringkali dikisahkan dari mulut ke mulut oleh masyarakat Pahang terutamanya didaerah Kuala Lipis,Raub,Jerantut dan beberapa daerah lain, bagi mengisahkan perihal loghat Pahang yang disalah erti akan maksudnya.
Wassalam. ]

Disiarkan semula di Blog MD pada 20 August 2011 untuk tatapan pembaca.



MD.
20 Ramadhan 1432H









Friday 19 August 2011

Baru Ku Tahu...Dia Ikhtiman Ismail

Saya lahir, membesar,bersekolah di Pahang.Bercakap pula sudah tentu menggunakan loghat Pahang.Ini permulaan untuk catatan kali ini.

Tiada paksaan,hasutan dan tekanan.Ia datang dengan sendiri.Sejak dari dahulu Saya cukup meminati lagu dengan loghat Negeri Sembilan yang dinyanyikan oleh Ally Noor dan Mastura iaitu lagu - Apo Kono Eh Jang.Lirik lagu ini sememangnya mempunyai unsur nasihat bagi masa depan ditambah pula susunan muzik yang bersifat malar hijau.Seingatnya dimasa sekolah rendah...


Lagu ini juga kerap dimainkan di radio cukup suka mendengarnya.Bila nak mandi sungai,ke paya berkubang menyaup ikan,mencari ikan laga pun terbawa menyanyikan lagu ini.
Untuk satu kisah sedih bila mana lagu ini sedang popular juga tetap ada.Adik kepada kawan yang lemas di sungai pada musim tengkujuh.Peristiwa itu memang jadi kenangan yang masih diingati.

Hingga sekarang pula lagu ini masih diminati dan diakui oleh ramai orang satu kenyataan yang tidak dinafikan.Sehingga pada satu ketika Saya kerap mengikuti dan meneliti kemaskini yang dibuat pada laman sosial Facebook anak saudara sepupu iaitu Nazirul Roselan.Terlihat beberapa gambar seorang yang bernama Ikhtiman Ismail keluar dari Hospital Jerantut selepas menerima rawatan akibat kemalangan.
Sekian adanya setelah membaca,mengamati dan meneliti dari sumber yang ada maka betul.

Dialah orang yang mencipta lagu dan lirik lagu Apo Kono Eh Jang yang Saya minati sejak sekian lama.Sememangnya penyanyi yang disebut orang tapi bagi Saya insan yang menghasilkan lagu yang mencetuskan fenomena ini juga tidak wajar dinafikan.Sesuatu yang sangat istimewa bilamana orang Pahang berjaya menghasilkan lagu dan lirik sebegitu enak didengar.

Tiada ganjaran hendak diberi - Saya bukan hartawan,tiada bintang hendak dianugerah - Saya bukan orang yang gagah.
Maka sedikit,sekelumit penghargaan yang mampu dari Saya untuk orang yang bernama Ikhtiman Ismail dengan menjadikan beliau sebagai tetamu/tokoh pilihan yang pertama bagi ruangan In-Person@Pahang Community bagi bulan Jun 2011.



Saya merasakan warga Pahang perlu tahu informasi itu,walaupun tidak menyeluruh namun dengan rakan FB di Pahang Community yang menghampiri jumlah 5000 orang itu sedikit sebanyak ianya sampai.
Kini beliau juga menjadi rakan FB yang sangat mesra dengan Saya dan jika berpeluang tentunya ingin bersua muka juga Insya Allah.

Baru Ku Tahu... Dia Ikhtiman Ismail !!



MD
19 Ramadhan 1432H



Thursday 18 August 2011

Kisah Puasa Dulu Dulu

Malam kelmarin lepas Solat di Surau masa minum minum ada bersembang dengan jiran jiran yang berasal dari berlainan negeri.Pada kesempatan tersebut masing masing ada mengimbau kenangan berpuasa di zaman 70 - 80an.Banyak persamaan kisah yang antaranya :

1.Air Batu.
Dimasa itu bekalan elektrik masih tidak menyeluruh dan tidak sepenuhnya.Boleh dikira berapa kerat orang yang mampu memiliki peti sejuk,malahan di kampung pendalaman hampir tiada.Bulan puasa yang cuacanya panas bila berbuka dapat menikmati minuman sejuk alangkah nikmatnya..Biasanya air batu yang dijual dikedai tertentu datang dalam bentuk blok yang besar,manakala pekedai menyimpannya pula dalam tong yang diisi dengan habuk kayu halus berfungsi sebagai penebat.
Air Batu - gambar sumber Google

Adakalanya air batu kena tempah pada pekedai jika tidak alamat melepas.Sungguh laris air batu di bulan puasa.Harga pula ikut saiz ada 30sen,50sen dan RM1 [ dikira jumlah yang besar ketika itu ].Sudah beli terus bawa balik dan simpan pula dalam bekas penebat yang kedap udara supaya tidak cepat cair.

2. Buah Kurma.
Buah kurma lazimnya cukup dicari bila tiba bulan puasa terutamanya hidangan semasa berbuka puasa.Tidak seperti hari ini kurma yang dijual dahulu kebanyakkannya dari jenis kurma dalam guni jalur yang dijual dalam sukatan Kati.Kurma pula tidaklah dalam bentuk sebiji sebiji....sebab dipadat dalam guni tentunya penyek!!
Maka tiada pilihan itu yang ada,dapat makan kurma sangat bersyukur...
Sekarang jauh lebih baik,hinggakan kurma segar yang masih bertangkai ada dijual.

3.Drama Arab.
Hehehe......Ini lagi satu trademark bulan puasa dulu dulu.Sekitar pukul 3 hingga 5 petang di TV1 akan menyiarkan drama Arab hitam putih..Tengok sebab ada sarikata......

Begitu antara yang dibualkan.Apa pun keadaan dahulu wajar dijadikan rujukan pada hari ini dan kita sentiasa mengharapkan keadaan akan menjadi lebih baik dari masa ke semasa Insya Allah.


MD
18 Ramadhan 1432H




Tuesday 16 August 2011

Agar Agar Kering.




Agar agar kering menjadi kisah untuk catatan kali ini…
Ini merupakan makanan kegemaran Saya yang dahulunya hanya dijumpai pada hari raya pada rumah rumah tertentu sahaja.Tanpa menidakkan hidangan raya enak yang lain. Jika terhidang makanan ini dimeja maka pasti ianya menjadi pilihan nombor satu.Membesar di tanah rancangan FELDA di Jengka 4, dengan segalanya serba kekurangan pada permulaannya adalah sesuatu yang sangat dikenang.
Kemeriahan sambutan raya memang sangat ditunggu-tunggu tambahan pula dapat peluang makan agar agar kering warna merah yang paling popular…Ayat yang mudah difahami – ‘Agar agar kering hanya jumpa pada hari raya sahaja’……
itulah kisah silamnya.

Dari kisah silam,kenangan itu masih dibawa hingga kini.Ternyata minat tersebut masih ada dan diaktifkan dengan semangat baru.Sejak 3 tahun kebelakangan ini Saya bersama Isteri telah berusaha mencari resepi,belajar dan membuat agar agar kering.Banyak cubaan telah dibuat untuk mendapatkan agar agar kering yang terbaik untuk hidangan.Usaha tersebut ternyata menunjukkan hasil.Sejak 3 tahun kebelakangan ini juga bila tiba musim perayaan [ hari raya Aidilfitri @ Aidiladha ] agar agar kering dibuat untuk makanan sendiri dan mendapat tempahan untuk jualan juga.Syukur…jumlah tempahan pula sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

Tidak terhad pada musim perayaan,malah satu kenangan juga bagi tahun 2011 yang mana tempahan telah diterima untuk majlis perkahwinan.Untuk menambah nilai produk, pilihan warna mengikut tema majlis juga disediakan.

Contoh terbaik untuk satu tempahan pada hari raya yang terdekat – Agar agar kering dengan warna Hijau dan Kuning oleh seorang rakan yang akan djadikan hadiah pada teman wanitanya yang berasal dari Kedah.Mungkin itu warna kegemaran atau juga warna utama/rasmi bagi negeri Kedah iaitu Hijau dan Kuning….Sebelum ini juga terdapat beberapa tempahan untuk majlis pertunangan dengan warna Biru dan Putih.Selebihnya adalah warna campuran.

Itulah serba sedikit kisah Agar agar Kering.Dari satu kisah silam yang menyentuh perasaan dan kini membawa kepada satu cabang perniagaan yang akan diteruskan…Insya Allah.

Selamat Berpuasa,


MD
16 Ramadhan 1432H